Hari itu ketika sedang asyik membuat racik ayam hutan, Ezad dan Johan Shaari dikejutkan dengan berita kematian sahabat baik mereka yang meninggal disebabkan oleh kemalangan motosikal ketika pulang dari membeli buah tembikai susu yang dipesan oleh ibunya. Mereka bagaikan tidak percaya kerana baru semalam sahaja mereka bertiga berbual dan bergurau senda dengan Rahmat, tapi hari itu Rahmat sudah tiada lagi. Rahmat sudah pergi meninggalkan mereka untuk selama-lamanya.
Dalam kesedihan, maka bergegaslah Ezad dan Johan menunggang honda cup 70 menuju ke rumah Pak cik Hassan, disitu kelihatan orang kampung sudah ramai berkumpul dan saudara-mara sedang menangisi pemergian Rahmat.
Ezad dan Johan dengan hati yang sedih sempat turut bersama-sama mengangkat turun jenazah Rahmat yang baru tiba di perkarangan rumah dari van jenazah, mereka melihat jenazah Rahmat buat kali terakhir. Ah.... jenazah Rahmat kelihatan bersih dan seperti sedang dibuai lena.
Sedang orang ramai bersedih dengan pemergian Rahmat tiba-tiba datang seorang kanak-kanak lelaki menyampaikan berita bahawa Pak Majid si penggali kubur tiba-tiba terkena cirit-birit dan terpaksa ke klinik untuk mendapatkan rawatan lanjut.
"Habis macamana ni bang Hassan? Nak tunggu Majid ke?" Soal Khamis, adik ipar pak cik Hassan apabila mendengar pengkhabaran itu.
"Entahlah, kita cakap nak kebumikan lepas asar nanti, sempat ke tidak kalau nak tunggu Majid?" Soal Pak cik Hassan
"Kalau macam tu, biarlah aku ke kampung sebelah minta bantuan che man" Kata Khamis seraya mahu mengatur langkah mahu berlalu pergi dari perkarangan rumah itu.
"Eh, tak payah bang Khamis..biar kitorang sajalah yang gali kubur arwah ni sebab kami bertiga ni dah berkawan sejak dari kecil lagi" Tiba-tiba Ezad datang menyampuk. Langkah kaki Khamis mati, dia dan Pak Cik Hassan saling berpandangan kemudian memandang pula kedua pemuda itu.
"Betul kata Jad tu bang Khamis, pak cik Hassan biarlah kami berbudi buat kali terakhir untuk arwah Rahmat" Kata Johan serius.
"Macamana bang Hassan?" Soal Khamis apabila yakin dengan kesungguhan dua pemuda yang langsung tidak mempunyai pengalaman dalam menggali lubang kubur itu. Pak cik Hassan mengangguk dalam linangan air mata, terharu betul dia dengan sikap kedua-dua anak muda itu maka segera dia memeluk anak-anak muda itu erat.
Selepas zohor, maka berangkatlah Johan dan Ezad ke tanah perkuburan Kampung Ala Payung Ketipang Payung untuk menggali kubur arwah Rahmat, mereka memilih untuk menggali berdekatan dengan rumah abang Haron kerana kawasan itu lebih teduh dan redup dibayangi pokok ketapang yang rendang, gali punya gali tiba-tiba sahaja lubang kubur itu dipenuhi air, sedikit demi sedikit. Wajah Ezad dan Johan mula berubah ketakutan, air yang berselut itu semakin naik dan meninggi ke paras betis membuatkan Ezad dan Johan terus melompat naik ke atas, keluar dari lubang kubur itu.
"Tak boleh jadi ni Jad..ada sesuatu yang tak kena ni Jad'' Kata Johan cemas.
''Aku takut ni Johan'' Kata Ezad
''Akupun takut tapi sekarang kau kena balik dan pergi panggil pak cik Hassan" Kata Johan serius, suaranya agak terketar-ketar kerana cemas di dadanya yang sudah seperti mahu pecah, dia sudah terlalu banyak mendengar kisah-kisah balasan ALLAH kepada hamba-Nya yang ingkar tapi dia yakin yang Rahmat seorang pemuda yang sangat baik tapi kenapa kuburnya keluar air?!? malah semakin banyak memenuhi liang lahad dan berselut.
Di rumah pak cik Hassan, Ezad berlari termengah-mengah dan mulai menceritakan hal itu secara berbisik kepada Pak cik Hassan, maka pergilah beberapa orang yang terdekat dengan Pak Cik Hassan untuk melihat kubur yang telah digali itu dan memastikan cerita yang disampaikan oleh Ezad itu. Memang benar bagai yang dikata oleh Ezad, kubur itu telah dipenuhi air selut, semua yang ada mula menggelabah dengan kejadian itu. Pak Cik Hassan pula mula rebah di pinggir kaki kubur yang berselut itu, dia mulai memikirkan samaada arwah anaknya pernah melakukan sesuatu di luar pengetahuannya.
Sedang masing-masing kecoh di tanah perkuburan itu, datanglah abang Haron bersama Majid si penggali kubur
"Patutlah rumah aku tak ada air, aku dah siap memerut, air pulak tak ada. Yang korang pergi cangkul batang paip tu kenapa?" Abang Haron memandang Ezad dan Johan dalam wajah tidak berpuas hati.
"Hah? Err.... ba.. batang paip?" Semua yang ada memandang ke arah Ezad dan Johan.
"Err...ka..kami.."Ezad dan Johan terpinga-pinga.
"Kan dah tanda ni, kat sini tak boleh gali kubur sebab ada batang paip, korang tak ingat ke YB Kadir yang rasmikan papan tanda ni? Hishh.. tak pepasal korang cantas, tengok air dah penuh dalam lubang kubur ni, siapa nak turun balutkan batang paip yang pecah ni?" Soal Majid seraya menunjukkan signboard berbunga kemboja dengan tulisan "dilarang menggali kubur disini"
"Er..." Kedua pemuda itu garu kepala sambil dalam hati masing-masing mula memaki diri sendiri dan memikirkan nasib mereka nanti di hadapan Pak Cik Hassan.
"Hai, inilah jadinya kalau orang muda buat kerja, terpaksalah aku yang baru lepas sembuh cirit ni juga yang gali kubur lain" Kata Majid sambil mencapai cangkul dan berlalu bersama beberapa orang kampung untuk membantunya. Abang Haron pula masih melihat ke dalam lubang kubur yang dipenuhi air itu sambil memegang kemas kain pelikatnya kemudian berlalu pulang ke rumahnya.
Pak cik Hassan segera merapati Ezad dan Johan lalu meluku kepala dua anak muda itu
"Kau berdua ni buat saspen aku je!" Katanya sambil mengurut dada yang tadi sepeti mahu pecah.
"Sorrylah pak cik, mana kami perasan signboard tu.. kami ingat tu signboard kempen undi YB Kadir" Ezad dan Johan tersengih sambil menggosok kepala mereka berdua,
sambil itu mereka memandang signboard dilarang menggali kubur disini itu dengan gambar YB Kadir sebesar-besar alam sedang tersengih, kemudian mereka memandang Abang Haron yang datang kembali bersama getah dan gam paip untuk membaiki paip yang bocor itu.
sambil itu mereka memandang signboard dilarang menggali kubur disini itu dengan gambar YB Kadir sebesar-besar alam sedang tersengih, kemudian mereka memandang Abang Haron yang datang kembali bersama getah dan gam paip untuk membaiki paip yang bocor itu.
Sekian.
0 Response to "''Kubur Rahmat Berair''"
Post a Comment