Kuala Lumpur: “Abang jangan was-was! Ini penemuan terbaru saintis dunia. Penyakit Aids dan virus HIV sudah ada penawar!,” itu hujah temberang seorang peniaga produk rangsangan seks kaki lima yang ditemui di Chow Kit, di sini, semalam.
Lelaki berusia lewat 40-an itu lantas menghulurkan botol kecil dengan label pelekat berwarna jingga kepada wartawan yang menyamar sebagai pengunjung kawasan suram itu.
Wartawan kemudian membelek botol kecil mengandungi tiga butir pil ‘ajaib’ berwarna merah di dalamnya.
Bagaimanapun, sukar untuk mengetahui kandungan dan maklumat berkaitan pil itu berikutan label pada botol ditulis menggunakan bahasa Thai.
“Abang boleh cuba dulu! Pil ini boleh sembuhkan semua jenis sakit kelamin. Bukan hanya HIV atau Aids saja, malah sakit sifilis dan sakit epididimitis boleh sembuh jika makan pil ini.
“Ubat ini import dari Thailand...sebab itu harganya masih murah. Kalau ubat Aids atau HIV dari Amerika, harganya cecah ribuan ringgit,” ujar lelaki itu penuh yakin.
Ditanya berapakah harga ‘ubat’ berkenaan, lelaki itu segera menjawab bahawa pil ‘istimewa’ berkenaan dijual pada harga RM50 sebotol.
“Memang mahal, tapi banyak faedahnya. Ramai tak tahu khasiat pil ini lagi. Kalau beli di klinik boleh ‘kopak’ poket. Harga saya tawar lebih murah.
“Tapi kalau abang ambil sekali dengan pil rangsangan seks, saya bagi diskaun,” kata lelaki terbabit.
Wartawan berpura-pura meminta potongan harga untuk membeli pil itu bagaimanapun tidak mendapat reaksi positif.
“Susah nak dapat pil ini sekarang. Stok tak banyak. Tak boleh bagi diskaun. Ini pun dah kira murah dik.
“Orang nak mati pun boleh kasi hidup semula kalau makan pil ini. Adik tahukan sakit HIV boleh bawa maut,” katanya.
Sementara itu, tinjauan wartawan di sekitar kawasan itu sehingga Jalan Raja Laut mendapati kumpulan peniaga ubat-ubatan kaki lima itu kian bertambah menjelang tengah malam.
Malah, ada antara mereka turut menawarkan pil sama yang didakwa mampu menyembuhkan pelbagai penyakit kelamin serta Aids dan HIV.
Mereka dikesan menggunakan meja kecil, kotak kayu serta lampu mata arah untuk menarik perhatian pelanggan singgah ke ‘gerai’ masing-masing.
Kebanyakan peniaga haram ini dikesan menjual puluhan jenis pil dan cecair perangsang seks haram selain alat mainan seks dipercayai diseludup dari China.

0 Response to "Pil merah 'ajaib'"
Post a Comment