PUTRAJAYA - Wisma Putra menasihatkan rakyat Malaysia yang terjejas akibat insiden serangan pada konsert di Manchester Arena, London, semalam, supaya melaporkan diri kepada pihak Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London.
Wisma Putra dalam kenyataan hari ini berkata, rakyat Malaysia yang tinggal di kawasan yang terjejas itu supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan.
Justeru, katanya, pihaknya memantau rapi insiden letupan bom pada konsert penyanyi Amerika Syarikat, Ariana Grande yang setakat ini mengorbankan  sekurang-kurangnya 19 penonton dan kira-kira 50 lagi cedera.
[ARTIKEL BERKAITAN:  Pengeboman Manchester: 19 maut, 60 cedera]
Wisma Putra turut merakamkan takziah dan simpati ke atas pihak keluarga mangsa yang terbabit dalam kejadian itu.
Laporan awal media menyebut sekurang-kurangnya 19 orang terbunuh manakala 50 orang lagi cedera dalam kejadian yang disyaki serangan pengganas.
Berdasarkan laporan itu, letupan berlaku ketika penyanyi itu melakukan persembahan di atas pentas dan beliau dilaporkan selamat.
Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan ekoran insiden itu boleh menghubungi pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia  di alamat 45 - 46 Belgrave Square, London SW1X 8QT, nombor telefon +44 207 235 8033 atau e-mel: mwlondon.kln@1govuc.gov.my